Thursday, September 10, 2009

AZIZI HJ ABDULLAH
Menulis…

Siapa Peduli Mereka?*

‘Terima kasih bang....terima kasih bang...abang orang baik.’

Anda bayangkan jika mendengar kata-kata ini dari seorang perempuan 27 tahun, yang sedang mengandung, mengilik seorang anak perempuan, berganyut pula anak lelaki ketika saya dan dua kawan dari CAP memberi sekampit beras dan sedikit barangan dapur.


Bersama anak di muka pintu


Rumah tak ada elektrik, tak ada air. Rumah buruk seluas sepuluh kaki kali 15 kaki, di situlah tidur, di situlah makan, di situlah anjung, di situlah lepau, di situlah dapur dan di situlah ruang. Katanya, rumah itu dibeli RM5 ribu, hasil duit insuran kemalangan lima tahun yang lalu.

Bertangga kayu silang, depan tangga tempat melempar udang busuk, sampah sarap dan lunggukan lain-lain. Apa nak dikata kerana kawasan setinggan itu tidak punya tanah yang terluang untuk sampah.

Air bertakung di sana sini dan lorong hanya boleh dilalui motosikal.

Bayangkan jika malam menjelang, apa yang dibuat oleh sekeluarga dua anak suami isteri ini? Bayangkan air mandi dan basuh hanya diangkut setong dua oleh suami di tengah malam dari gerai Fama.

Bayangkan jika makan hanya ikan gelama kering, pucuk pegaga atau daun-daun yang meragas di tepi rumah. Bayangkan kalau diakui sendiri oleh isteri setia ini, kadang-kadang tak makan dua hari.

Saya tidak dapat mencari jawapan, di mana pula mereka membuang air besar, kalau di depan tangga sendiri orang lain melungguk sampah dan benda busuk sampaikan lalat dan ulat tak dapat digambarkan?


Depan tangga rumah Siti Ani Sepinar


Ya Tuhan, ini sebuah kehidupan lara yang pertama kali saya temui. Saya tak dapat bayangkan bagaimana mereka merindui kibaran bendera Malaysia di dalam TV ketika lagu Negaraku berkumandang, sedangkan sekampit Melo 500 gram pun mereka tidak mampu melihatnya. Jangankan sebotol perfume, mengelak bau busuk hanya sehari pun tidak mampu.

Siapakah yang melempar mereka ke telaga miskin ini?
Siapakah yang mahu peduli nasib mereka seperti ini?
Ani Sepira seorangkah dalam Malaysia ini?
Di mana kemanusiaan dan prihatin?
Pemerintah mana yang ambil peduli?

Ya Allah,
Katanya ada manusia berpedapatan RM 49 ribu sebulan
Masakan RM 49.00 tidak boleh dicampak ke sini?
Katanya mereka ini sangat berharga
Hanya ketika musim pilihanraya.

* Temuilah kemiskinan tegar di bandar ini: Kg Gunung Sali, Bandaraya Alur Setar.

Gejala Sosial



Ada pendapat mengatakan minum air daun ketum, bagus.


1.
Adakah minuman air daun ketum merupakan satu masalah sosial atau ia mendatangkan mudarat yang melampau?

Apa pun tanggapan umum sekarang, penyalahgunaan daun ketum sama seperti dadah. Bagi sesetengah pengamal, minum dan ketagihan dianggap bukan sebagai satu masalah, tetapi ia tetap mendatangkan masalah terutama kesan sampingan.

Bukan menafikan negeri lain tidak ada penanaman pokok ketum ini, tetapi wartawan Utusan Pengguna telah meninjau di sekitar negeri Perlis. Ternyata pokok ketum ditanam dengan bebas dan meminumnya mempunyai tempat-tempat (gerai) tertentu, seumpama kelab khas. Malah pokok ketum yang ditanam seperti jajaran pokok-pokok mempelam ini, dijadikan pula pusat perubatan tradisional.

Gejala sosial bukan sahaja berhadapan dengan sikap dan gaya meniru dan membazir tetapi juga tidak beretika dengan kebersihan. Golongan ini tidak mengenali tempat sampah dan kitar semula.

Siapa yang boleh membetuli mereka jika bukan sistem pendidikan yang telus, luhur dan mempunyai pendekatan agama.

-Dapatkan utusan Pengguna keluaran Sep/Okt. 2009



Di antara remaja yang mabuk arak.


2.
Central Square di Sungai Petani merupakan pusat membeli-belah tetapi juga tempat pertemuan dan golongan remaja melepak. Bagi golongan remaja yang tidak mempunyai dunia khusus (seperti remaja perempuan yang lari dari rumah) pusat membeli-belah merupakan dunia dan rumah yang menjadi tempat berteduh waktu siang.

Di sana sejuk. Di sana tidak sunyi. Di sana boleh menemui kawan dan lawan. Di sana juga ada makan percuma dari pemancing mangsa.

Gadis N, berusia 15 tahun (bukan nama sebenar) ditemui oleh sukarelawan LANDAS. Dia yang berhari-hari dalam intipan sukarelawan, sering mundar-mandir sebaik-baik sahaja Central Square dibuka. Dia tidak peduli pakaian yang compang-camping. Dia tidak peduli rambut dan wajahnya. Yang penting dia dalam keadaan bebas.

“Untuk apa saya balik ke rumah. Adik-adik ramai. Bapa main judi. Emak tak peduli. Bapa dan emak selalu bergaduh dan tak pedulikan kami,” kata N yang berasal dari Baling.
“Minum?”
“Saya tak beli. Kawan bagi kalau lebih.”
“Minum di mana kalau macam ni?”
“Atas apartmen sana. Tidur pun di sana.”
“Berani?”
“Apa nak takut. Kawan ramai. Mereka baik.”


-Cerita lanjut, dapatkan Utusan Pengguna keluaran Sep/Okt 2009

1 comment:

Admin said...

makasih saudara Zaizi kerna menghantar post-post yang memberi pengajaran tentang realiti hidup... kita... yang berasa masyarakat kita dah merdeka....
tetapi hakikatnya... lihatlah post yang telah dihantar sudara kita ni..